Friday, August 28, 2009

TAMBANG BARU RAPIDKL MEMBEBANKAN PELAJAR

SHAH ALAMTindakan Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) untuk memansuhkan tiket sehari dan digantikan dengan tiket mengikut perjalanan di kesemua laluan bas yang berkuatkuasa mulai 1 September ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kenaikan tambang lebih 100 peratus di beberapa laluan khususnya destinasi yang jauh akan menggantikan tambang pas harian yang dilaksanakan rapidKL dianggap membebankan pelajar yang kerap menggunakan pengangkutan awam ini.

Menurut Pelajar Fakulti Sains Gunaan, Nor Zaini Jasmin berkata, tambang baru yang dikenakan oleh RapidKL ini membebankan pelajar yang bergantung kepada pinjaman pendidikan dan berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Tambang baru yang diperkenalkan oleh RapidKL sememangnya membebankan pelajar yang sering berulang-alik ke kuliah dengan menaiki bas RapidKL. Motif kenaikan tambang bas di laluan dalaman adalah tidak relevan memandangkan bilangan pelajar yang menggunakan perkhidmatan awam ini mencecah ribuan orang. Seharusnya pihak RapidKL mengkaji semula penstrukturan tambang bas di zon laluan dalaman UiTM,” katanya.

Menurut Ketua Sektor RapidKL Shah Alam, Aminza Abdul Azis berkata, kadar tambang baru yang diperkenalkan adalah mengikut Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) setelah semakannya dibawa ke perhatian kabinet pada akhir bulan Mei yang lepas dan berharap agar pelajar UiTM memahami situasi ini.

“Pelajar UiTM yang menggunakan perkhidmatan bas RapidKL untuk ke fakulti dan pusat bandar adalah digalakkan untuk membeli pas bulanan yang telah mula dijual dengan harga RM40 hingga RM100 sahaja. Pas bulanan ini dijual khusus untuk pelajar dan hanya dijual di stesen bas Syeksen 2 Shah Alam pada bulan ogos ini sahaja. Pas ini menawarkan penjimatan sehingga 50 peratus dan lebih istimewa lagi pengguna pas bulanan boleh menggunakan khidmat bas RapidKL tanpa had,” katanya.

Penstrukturan semula tambang itu dibuat ekoran pengumuman kerajaan terhadap kadar tambang baru bagi pengangkutan awam di seluruh negara yang menyaksikan kenaikan untuk kesemua jenis kategori perkhidmatan, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment